Tuesday, October 17, 2017
vital-top
updated 7:20 AM UTC, Oct 17, 2017

RCI Siasat Kerugian BNM Sedia Persembahkan Laporan Kepada Agong

PUTRAJAYA  - Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) yang bersidang untuk menyiasat kerugian urus niaga mata wang asing Bank Negara Malaysia (BNM) akan mempersembahkan laporannya kepada Yang di-Pertuan Agong esok.

Setiausaha RCI Datuk Dr Yusof Ismail dalam notis yang dikeluarkan berkata pengerusi suruhanjaya Tan Sri Mohd Sidek Hassan akan menghadap Seri Paduka di Istana Negara di antara pukul 5 petang dan 6 petang.

Pada 15 Julai tahun ini, Yang di-Pertuan Agong memperkenankan penubuhan RCI untuk menyiasat kerugian dialami Bank Negara Malaysia dalam urus niaga mata wang asing pada 1990-an mengikut Akta Suruhanjaya Siasatan.

Panel lima anggota RCI diketuai Mohd Sidek telah bersidang selama lapan hari dari 21 Ogos dan berakhir pada 19 Sept selepas memanggil 25 saksi.

Antara saksi berkenaan ialah bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, bekas Gabenor BNM Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz, bekas Penasihat BNM Tan Sri Nor Mohamed Yakcop dan bekas Menteri Kewangan Tun Daim Zainuddin.

Antara lima bidang rujukan suruhanjaya itu adalah :- *Untuk menentukan sama ada urus niaga mata wang asing Bank Negara, yang mengalami kerugian, telah melanggar peruntukan Ordinan Bank Pusat 1958 atau mana-mana undang-undang lain yang berkenaan.

*Untuk menentukan sama ada terdapat unsur sengaja menyembunyikan fakta dan maklumat serta penyata mengelirukan yang dikemukakan kepada Kabinet, Parlimen dan orang ramai berhubung kerugian dialami Bank Negara disebabkan urus niaga mata wang asing itu.

* Untuk mengesyorkan tindakan sewajarnya yang perlu diambil terhadap pihak yang terlibat secara langsung dan/atau tidak langsung sekiranya mereka didapati menyebabkan Bank Negara mengalami kerugian itu dan menyembunyikan fakta serta maklumat mengenai kerugian yang dimaksudkan.

*Untuk mengesyorkan tindakan yang patut diambil bagi memastikan perkara serupa tidak berulang.

(Sumber - Bernama)