Tuesday, October 17, 2017
vital-top
updated 7:20 AM UTC, Oct 17, 2017

TPM - Malaysia Perlu Beri Penekanan Pada R&D Untuk Menjadi Negara Maju

KUALA LUMPUR  - Malaysia perlu memberi penekanan kepada kepentingan penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta inovasi dalam usaha mencapai status sebagai sebuah negara maju berpendapatan tinggi, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata selaras dengan agenda Transformasi Nasional 2050 (TN50), sudah tiba masanya inovasi menjadi pelonjak utama untuk memacu Malaysia mencapai sasaran berkenaan seperti negara ekonomi utama dunia lain yang turut memberi tumpuan kepada bidang pengetahuan, inovasi, kemahiran dan kepakaran tinggi.

"Walaupun R&D negara terhadap Keluaran Dalam Negara Kasar telah meningkat dari 1.26 peratus pada tahun 2014 kepada 1.3 peratus pada tahun 2015, pada hemat saya, ia masih rendah berbanding dengan sesetengah negara maju lain.

"Di samping perbelanjaan R&D yang dibiayai kerajaan, pihak swasta juga perlu berusaha untuk meningkatkan perbelanjaan menyokong aktiviti R&D ini," katanya semasa berucap merasmikan Ekspo Ekonomi Inovasi dan Kreatif Kebangsaan 2017 (NICE'17).

Beliau berkata tumpuan juga harus diberikan untuk melaksanakan penyelidikan yang selaras dengan keutamaan dan kehendak permintaan industri melalui kerjasama strategik antara pihak kerajaan, industri dan ahli akademik.

Menurutnya platform berkenaan mampu menawarkan perkhidmatan pakar untuk menyelesaikan masalah pengeluaran serta mengukuhkan kerjasama antara pengeluar dan institusi penyelidikan selain mengurangkan kos pelaksanaan R&D, meningkatkan pengetahuan teknikal selain menambah baik proses kerja.

Tambahnya, inovasi juga memainkan peranan penting dalam meningkatkan produktiviti setiap sektor ekonomi negara kepada aktiviti bernilai tinggi dan berasaskan pengetahuan.

Beliau turut memaklumkan Malaysia kini menduduki di tangga ke-37 daripada 127 negara dalam Laporan Global Innovation Index (GII) 2017 dan kedudukan itu boleh ditambah baik melalui pelaburan dalam bidang inovasi negara. "Kita akan gagal sebagai kerajaan, sebuah masyarakat dan sebuah bangsa jika gagal memanfaatkan sains, teknologi dan inovasi. Penyelesaian hampir semua masalah dalam lingkungan kita adalah pada sains dan teknologi dan bukannya politik.

"Di luar sana, terlalu banyak sains, tetapi sangat kurang dimanfaatkan. Di luar sana terlalu banyak teknologi tetapi kita gagal menggunakannya untuk memajukan bangsa.

"Sebabnya ialah kerana kita tidak berfikir secara saintifik. Kita malas berfikir dan kadang-kadang berhenti berfikir. Kita memisahkan sains daripada dasar kita. Kita menjauhkan teknologi sebagai instrumen terbaik memajukan masyarakat," katanya.

(Sumber - Bernama)