Sunday, October 22, 2017
vital-top
updated 2:46 PM UTC, Oct 21, 2017

Najib Mahu Calon MIC Berkredibliti Dan Diterima Semua Kaum

KUALA LUMPUR  - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mahu MIC menyenaraikan calon yang boleh menang, berkredibiliti dan berkualiti, serta diterima oleh semua kaum, pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata inilah pra syarat yang diberikan kepada MIC yang mahu bertanding bagi semua kerusi yang ditandingi parti itu sebelum ini.

Katanya ini kerana pada realitinya, tidak ada satu kawasan pun mempunyai majoriti pengundi masyarakat India.

"Saya mahu MIC sediakan calon-calon yang winnable (boleh menang) dan credible (berkredibiliti). Calon itu mesti diterima oleh semua kaum. Kalau MIC mahu menang, ia juga bergantung kepada sokongan kaum lain juga. Tolong beri saya pemimpin yang bagus dan berkredibiliti.

"Di sesetengah tempat, contohnya kawasan parlimen Teluk Kemang, pengundi bukan (sahaja) terdiri daripada anggota parti tetapi (juga) merupakan anggota tentera. Jadi, MIC perlu diterima oleh semua kaum dan bukan hanya golongan India," katanya ketika berucap merasmikan Perhimpunan Agung MIC ke-71 di Pusat Dagangan Dunia Putra.

Dalam pada itu, Datuk Seri Najib berkata beliau melihat semangat yang ditunjukkan oleh 4,000 anggota MIC termasuk 1,500 perwakilan pada perhimpunan kali ini, dan menyifatkan parti itu berada dalam keadaan kukuh.

Kenyataan itu membuat semua kepimpinan tertinggi MIC dan perwakilan berdiri serta memberi tepukan gemuruh kepada beliau.

"MIC sedang melakukan proses perubahan dengan mengikuti langkah yang dimulakan oleh UMNO yang mana bakal Presiden MIC akan dipilih oleh 42,000 perwakilan dan bukannya 4,000 ketua cawangan seperti dulu," katanya.

Mengenang tragedi yang menimpa Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah yang mengorbankan 23 nyawa termasuk dua orang guru pada 14 Sept lalu, Datuk Seri Najib memuji keprihatinan yang ditunjukkan oleh Presiden MIC dan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S.Subramaniam serta partinya terhadap insiden itu.

 

(Sumber -Bernama)