Pengusaha bot rayu agar kemasukan warga asing dipertimbang


ALOR SETAR, 11 Jun - 
Seramai 141 pengusaha bot ikan laut dalam di Kedah merayu kerajaan mempertimbangkan cadangan membawa masuk pekerja asing untuk bekerja dalam sektor perikanan.

Setiausaha Pertubuhan Pemilik Bot Ikan Negeri Kedah, Tan Chee Seng, berkata, pekerja asing berkenaan yang kebanyakannya dari Thailand bekerja sebagai tekong dan kru bot di negeri itu.

Sejak penularan pandemik COVID-19 serta penutupan sempadan, pekerja yang pulang ke negara asal tidak dapat kembali semula ke Malaysia untuk bekerja.

Keadaan itu menjejaskan pendapatan mereka kerana bot tidak dapat beroperasi.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas penyerahan memorandum kepada Exco Pertanian dan Industri Makanan negeri Kedah, Azman Nasrudin, di Kuala Kedah.

Sementara itu, Azman berkata pihaknya telah memanjangkan isu berkenaan kepada Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri dan Majlis Keselamatan Negara.