Monday, November 20, 2017
vital-top
updated 3:10 PM UTC, Nov 20, 2017

Pusat Tahfiz Darul Ittifaqiyah Tidak Berdaftar Dengan Kementerian Pendidikan

SIBU – Pusat Tahfiz Darul Ittifaqiyah di Jalan Keramat Ujung, Kuala Lumpur, yang terbakar pagi ini, tidak berdaftar dengan Kementerian Pendidikan, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Timbalan Perdana Menteri berkata semakan juga akan dibuat sama ada pusat tahfiz itu berdaftar dengan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, atau mana-mana yayasan.

Beliau berkata pada persidangan media bilik orang kenamaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Sibu di penghujung lawatan kerjanya di Sarawak.

Beliau berkata kerajaan menghormati dan berpegang teguh dengan pendirian bahawa hal agama, termasuk berkaitan sekolah agama rakyat, termaktub di bawah pentadbiran kerajaan negeri, manakala Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) pula memantau dan menyalur bantuan tertentu dengan baik.

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid berkata kerajaan sentiasa mengambil berat terhadap tahap keselamatan pelajar di sekolah-sekolah dalam negara, baik yang dikendalikan penuh oleh kementerian, mahupun yang dikendalikan oleh pihak swasta dan persendirian.

((BERNAMA))