Tuesday, September 26, 2017
vital-top
updated 3:17 AM UTC, Sep 26, 2017

Malaysia, AS Berikrar Tingkat Kerjasama Tangani Ancaman Daesh Di Asia Tenggara

WASHINGTON DC  -Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) berhasrat untuk mengukuhkan kerjasama bagi memerangi ancaman kumpulan pengganas ISIS atau Daesh yang semakin meningkat di Asia Tenggara.

Ini adalah antara kemuncak kenyataan bersama yang dikeluaran susulan perbincangan antara Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak dan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump di White House.

Ia berkata kedua-dua pemimpin menegaskan tentang pentingnya memupuk daya tahan masyarakat dan prinsip saling menghormati merentasi sempadan agama dan etnik.

"Sebagai rakan dalam perjuangan menentang ISIS dan ahli Gabungan Global yang diketuai Amerika Syarikat, kedua-dua pemimpin mengambil maklum mengenai ikrar Malaysia menyumbang sebanyak US$1 juta untuk bantuan kemanusiaan di kawasan-kawasan yang dibebaskan daripada penguasaan ISIS," kata kenyataan itu.

Kedua-dua pemimpin berikrar untuk mengukuhkan hubungan pertahanan dua hala sambil menekankan tentang pentingnya memperluaskan kerjasama dalam bidang-bidang keutamaan termasuk keselamatan maritim, counter terrorism dan perkongsian maklumat antara pasukan pertahanan dan keselamatan kedua-dua negara.

"Presiden Trump mengalu-aluan hasrat Malaysia untuk tambahan US$60 juta perolehan pertahanan daripada Amerika Syarikat," kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan tersebut, Trump dan Najib komited untuk meneruskan peluang-peluang tambahan bagi eksasais dan latihan bersama.

Kedua-dua pemimpin juga menegaskan tentang pentingnya meningkatkan kesedaran domain maritim melalui pembangunan keupayaan maritim seperti pemantauan, komunikasi dan perkongsian maklumat.

"(Mereka) menyatakan hasrat untuk meneruskan perbincangan mengenai pembiayaan aset melalui mekanisme paling efektif untuk membangunkan keupayaan ini demi mewujudkan keselamatan serantau," kata kenyataan itu.

Datuk Seri Najib berada di sini untuk lawatan kerja selama tiga hari bermula 11 Sept atas jemputan Presiden Trump ketika Amerika Syarikat dan Malaysia menyambut ulang tahun ke-60 terjalinnya hubungan dua hala tahun ini.

(Sumber - Bernama)