Saturday, November 18, 2017
vital-top
updated 9:15 AM UTC, Nov 18, 2017

Pertemuan Mesra Di Rumah Putih

WASHINGTON - Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan perbincangan beliau dengan Presiden Donald Trump di Rumah Putih pada Selasa sebagai "pertemuan yang positif dan mesra".

Kedua-dua pemimpin dilihat gembira berjabat tangan beberapa kali dan memaut lengan masing-masing semasa berjalan masuk dan keluar bilik mesyuarat West Wing.

Beliau berkata pada jamuan malam Majlis Perniagaan Amerika Syarikat-ASEAN dan Dewan Perniagaan Amerika di Hotel St Regis di sini.

Datuk Seri Najib tiba di Rumah Putih pada pukul 11.45 pagi dan disambut Presiden Trump di pintu masuk West Wing.

Datuk Seri Najib dan Trump mengadakan perbincangan dua hala dengan menteri-menteri dan pegawai kanan masing-masing sebelum kedua-dua pemimpin mengadakan pertemuan empat mata di Pejabat Oval.

Kunjungan beliau ke Rumah Putih atas jemputan Presiden Trump, berlangsung lebih sejam.

Pegawai yang berada di Rumah Putih berkata Trump mengiringi Datuk Seri Najib hingga ke pintu untuk mengucapkan selamat jalan, di luar kelaziman beliau yang hanya menghantar pemimpin berkunjung ke pejabat beliau, setakat di lantai utama .

Pada majlis jamuan itu, Perdana Menteri berkata tahun lepas perdagangan antara Malaysia dan Amerika berjumlah hampir US$33 bilion.

Datuk Seri Najib berkata tahun lepas sahaja, syarikat-syarikat Amerika membawa masuk RM5 bilion, atau lebih daripada US$1 bilion, pelaburan langsung asing (FDI) ke Malaysia.

Amerika merupakan pelabur asing kelima terbesar di negara ini dengan jumlah saham FDI bernilai RM36 bilion atau US$8.5 bilion.

((BERNAMA))