Tuesday, September 26, 2017
vital-top
updated 3:17 AM UTC, Sep 26, 2017

Presiden Trump Puji Pendirian Najib Tentang Antikeganasan

WASHINGTON  - Presiden Amerika Syarikat Donald Trump memuji Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung peranan signifikan beliau dalam memerangi keganasan.

Pemimpin Malaysia itu, katanya, telah mengambil pelbagai langkah untuk memastikan kumpulan-kumpulan keganasan tidak mempunyai tempat dalam masyarakat.

"Perdana Menteri telah memainkan peranan besar untuk tidak membenarkan ISIS, atau anda gelar Daesh, dan lain-lainnya untuk wujud. Beliau benar-benar berpendirian tegas dalam menentang keganasan di Malaysia dan merupakan penyokong kuat bagi pendirian itu.

"Jadi itu amat penting bagi Amerika Syarikat," kata Presiden Trump pada lawatan Datuk Seri Najib ke White House.

Terdahulu, Trump menyambut mesra Perdana Menteri yang tiba di White House untuk mengadakan pertemuan dengan Presiden Amerika itu, puncak lawatan kerja beliau ke Washington D.C dari 11 hingga 13 Sept.

Selain mengadakan pertemuan empat mata di Pejabat Oval, kedua-dua pemimpin turut mengetuai mesyuarat delegasi Amerika Syarikat dan Malaysia yang terdiri daripada anggota Kabinet dan pegawai kanan kerajaan kedua-dua negara.

Pada mesyuarat delegasi itu, Trump turut merakamkan penghargaan kepada Datuk Seri Najib, yang berada di Washington D.C atas undangan presiden, berhubung pelaburan Malaysia di Amerika Syarikat.

Dalam kenyataannya pada mesyuarat itu, perdana menteri menyampaikan mesej penting kepada presiden bahawa Malaysia bersama-sama dengan Amerika Syarikat dalam perjuangan memerangi keganasan.

Beliau mengambil perhatian matlamat pentadbiran Trump untuk menjadikan Amerika Syarikat dan dunia sebagai tempat yang selamat, sesuatu yang menurut Najib, apa yang beliau juga mahu capai untuk Malaysia dan melangkauinya.

"Kami komited untuk memerangi Daesh, IS, Al-Qaeda, Abu Sayyaf - apa pun namanya, mereka ialah musuh Amerika Syarikat, mereka juga musuh Malaysia.

"Dan kami mainkan peranan kami untuk memastikan kawasan kami di dunia ini selamat," kata Datuk Seri Najib, sambil menegaskan kumpulan keganasan telah mencetuskan huru-hara di seluruh dunia.

Perdana Menteri memanfaatkan pertemuan beliau dengan pemimpin kuasa besar dunia terkemuka itu untuk menyentuh tentang peri pentingnya sokongan diberi kepada kerajaan negara Islam berpendirian sederhana serta memenangi hati dan minda masyarakat Islam dalam usaha memerangi ancaman keganasan.

(Sumber - Bernama)