Tuesday, November 21, 2017
vital-top
updated 9:53 AM UTC, Nov 21, 2017

PM Najib Merafak Sembah Tahniah Kepada Sultan Kedah Ke-29

KUALA LUMPUR  - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak merafak sembah tahniah kepada Tunku Sallehuddin Almarhum Sultan Badlishah atas pengisytiharan baginda sebagai Sultan Kedah yang baharu hari ini.

Tunku Sallehuddin, 75, dimasyhurkan sebagai Sultan Kedah yang ke-29 bagi menggantikan Almarhum kekandanya, Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah, 89, yang mangkat di Istana Anak Bukit pada 2.30 petang semalam.

"Semoga Kedah Darul Aman semakin maju serta dilimpahi rahmat Allah SWT. Daulat Tuanku," kata Najib melalui catatan di Twitter dan Facebook beliau.

Datuk Seri Najib, yang diiringi isteri Datin Seri Rosmah Mansor, kini berada di Washington untuk lawatan kerja tiga hari termasuk mengadakan pertemuan dengan Presiden Donald J. Trump di White House.

Pemasyhuran Tunku Sallehuddin sebagai Sultan Kedah baharu dibacakan oleh Menteri Besar Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah di Istana Anak Bukit hari ini setelah diputuskan dalam Majlis Mesyuarat Mengangkat Raja.

(Sumber - Bernama)