Tuesday, November 21, 2017
vital-top
updated 9:53 AM UTC, Nov 21, 2017

Jenazah Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Mu' adzam Shah Selamat Disemadikan

ALOR SETAR - Jenazah Almarhum Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah selamat disemadikan di Makam Diraja Langgar, petang ini.

Almarhum Sultan Abdul Halim , 89, mangkat di Istana Anak Bukit, Alor Setar pada pukul 2.30 petang semalam selepas memerintah Kedah selama 59 tahun.

Jenazah Almarhum baginda disemayamkan di Dewan Penghadapan, Istana Anak Bukit dari pukul 11 hingga 1.30 tengah hari bagi membolehkan rakyat dan orang kenamaan memberi penghormatan terakhir.

Sebelum itu pada pukul 10.30 pagi, Mufti Kedah Datuk Syeikh Fadzil Awang mengimamkan solat jenazah di Dewan Penghadapan.

Pada pukul 2.30 petang, pedati khas yang membawa jenazah Almarhum keluar meninggalkan Istana Anak Bukit dan tiba di Makam Diraja Langgar pada pukul 4 petang.

Sebaik istiadat pemakaman selesai kira- kira pukul 4.45 petang , Syeikh Fadzil Awang dan Imam Besar Masjid Zahir, Datuk Syeikh Roslan Abdul Halim mengetuai bacaan talkin dan Syeikh Alauddin Abu Bakar memimpin bacaan tahli dan doa.

Berangkat sama ke Makam Diraja ialah Sultan Kedah yang baru dimasyurkan, Tunku Sallehuddin Almarhum Sultan Badlishah, Tunku Temenggong Kedah, Tunku Puteri Intan Shafinaz Sultan Abdul Halim, Tengku Bendahara Kedah, Tan Sri Tunku Abdul Hamid Thani dan Tunku Laksamana Kedah, Datuk Tengku Sarafuddin Badlishah Tunku Sallehuddin Almarhum Sultan Badlishah dan Tunku Soraya Sultan Abdul Halim.

Menteri Besar Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah dan barisan Exco kerajaan negeri serta pegawai-pegawai kanan negeri turut hadir.

(Sumber - Bernama)