Thursday, November 23, 2017
vital-top
updated 9:49 AM UTC, Nov 23, 2017

Raja Muda Kedah Dimasyhur Sultan Kedah Yang Baharu

ALOR SETAR  - Raja Muda Kedah Tunku Sallehuddin Almarhum Sultan Badlishah dimasyhurkan sebagai Sultan Kedah yang ke-29 menggantikan Almarhum kekandanya, Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah.

Pemasyhuran itu dibacakan Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah di Istana Anak Bukit di sini hari ini setelah diputuskan dalam Majlis Mesyuarat Mengangkat Raja.

Almarhum Sultan Abdul Halim mangkat pada 2.30 petang semalam di istana tersebut.

Perkara Sembilan Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Kedah memperuntukkan pelantikan untuk menaiki takhta kerajaan negeri Kedah adalah ditetapkan Majlis Mesyuarat Mengangkat Raja yang turut dianggotai menteri besar sebagai Yang Dipertua majlis berkenaan.

Setelah dimasyhurkan, Pengelola Bijaya DirajaKetua Setiausaha Sulit Sultan Kedah Datuk Syed Unan Mashri Syed Abdullah kemudiannya menghadap Tunku Sallehuddin untuk mengiringi baginda ke singgahsana yang terletak di Dewan Penghadapan.

Syed Unan kemudiannya melaungkan "Daulat Tuanku" sebanyak tiga kali yang disambut oleh hadirin dan serentak itu paluan nobat dan tiupan nafiri dikumandangkan.

Istiadat diteruskan dengan bacaan doa oleh Mufti Kedah Datuk Syeikh Fadil Awang.

Tunku Sallehuddin kemudiannya menyentuh peterana Almarhum Sultan Abdul Halim, menandakan istiadat pemakaman akan dimulakan.

(Sumber - Bernama)