Thursday, July 2, 2020

updated 1:09 PM UTC, Jul 2, 2020

JKNS pastikan keperluan PPE dan penghantaran sampel lancar

  • Published in Berita Semasa

KOTA KINABALU, 2 Jun - Satu kes positif yang dicatatkan di Sabah semalam merupakan kes baharu di daerah Putatan.

Pengarah Kesihatan Negeri Sabah, Datuk Dr Christina Rundi dalam satu kenyataan berkata, ia merupakan kes tempatan yang dikesan di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah.

Pesakit berkenaan kini sedang menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth Kota Kinabalu.

Tiga kes di Sabah dilaporkan sembuh, manakala bilangan kes masih dirawat ialah 10 kes.

Jumlah kes positif setakat semalam, 347 kes.

Sementara itu, Datuk Dr Christina berkata, Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) giat melaksana inisiatif memastikan bekalan keperluan perubatan seperti Peralatan Perlindungan Diri (PPE) di fasiliti kesihatan dan penghantaran sampel ke pusat utama iaitu Makmal Kesihatan Awam Kota Kinabalu dan Makmal Patologi Hospital Queen Elizabeth tidak tergendala sejak 21 Mac lalu.

Inisiatif diselaraskan Seksyen Logistik Tindak Cepat Krisis Kebangsaan Negeri Sabah ini melibatkan 20 penerbangan Tentera Udara Diraja Malaysia bagi penghantaran peralatan perubatan, makmal dan PPE dari Semenanjung Malaysia ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, setakat 31 Mei.

Bagi pengangkutan darat pula, seramai 20 pemandu JKNS bergilir-gilir melakukan penghantaran di seluruh Sabah setiap hari dan turut membawa balik semua sampel makmal dari Pantai Timur ke Kota Kinabalu setiap hari memandangkan sistem pengangkutan darat dan udara terganggu semasa PKP.