Tuesday, July 7, 2020

updated 2:54 PM UTC, Jul 7, 2020

Selangor lanjut penangguhan solat Jumaat dan berjemaah hingga 30 Jun

  • Published in Berita Semasa

SHAH ALAM, 1 Jun - Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan penangguhan solat Jumaat serta solat berjemaah di masjid dan surau untuk orang awam di negeri itu dilanjutkan sehingga 30 Jun ini.

Menerusi kenyataan Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani memberitahu, keputusan berkenaan bagi memastikan penularan jangkitan wabak COVID-19 dapat dibendung serta dikawal.

Sultan Selangor sentiasa memantau rapat data-data terkini penularan COVID-19 termasuk kes-kes baharu jangkitan di negeri ini yang menunjukkan penurunan.

Kenyataan turut memaklumkan, semakan semula bagaimanapun akan dilakukan selepas minggu pertama bulan ini dan sekiranya penularan wabak COVID-19 didapati menurun, pertimbangan bakal dibuat.

Walaupun larangan dilanjutkan, azan waktu solat akan tetap berkumandang dan solat fardu lima waktu dilakukan 3 orang, terdiri imam, bilal dan siak masjid dan surau.

Program ceramah melalui media sosial juga tetap terus dijalankan.

Sultan Selangor turut menitahkan agar rakyat terus mengamalkan penjarakan sosial, memakai pelitup muka juga mematuhi setiap arahan dan garis panduan dikeluarkan Kementerian Kesihatan dan Jabatan Agama Islam Selangor.