Thursday, July 2, 2020

updated 1:09 PM UTC, Jul 2, 2020

Pelanggan digalak hubungi TNB semak isu bil melambung

  • Published in Berita Semasa

KUALA LUMPUR, 29 Mei - Tenaga Nasional Berhad (TNB) menggunakan kaedah Prorata bagi mendapatkan jumlah sebenar bil elektrik pengguna sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketua Pegawai Runcit TNB, Megat Jalaluddin Megat Hassan berkata, kaedah itu akan melaraskan jumlah bil elektrik bagi tempoh tertentu sekaligus memastikan pengguna tidak dikenakan caj berlebihan.

Jelas beliau, bil-bil anggaran yang diterima pengguna sebelum ini akan diselaraskan sebaik sahaja TNB mendapat bacaan meter sebenar di kediaman atau premis pengguna.

Mengulas luahan pelanggan mengenai isu bil elektrik yang melambung, jelasnya ia mungkin disebabkan jumlah bil elektrik terkumpul serta penggunaan elektrik yang lebih tinggi dalam tempoh PKP berbanding tempoh biasa.

Pelanggan yang mempunyai kemusykilan digalakkan menghubungi talian Khidmat Pelanggan TNB atau hadir ke Kedai Tenaga.

Bagi mengurangkan beban pelanggan yang terkesan, TNB memperkenalkan Pelan Bayaran Mudah yang membolehkan pelanggan membuat bayaran secara ansuran sehingga Disember ini.

Sebagai tambahan, TNB tidak akan mengenakan penalti kepada pengguna kediaman yang membuat bayaran lewat sehingga 30 September dan pemotongan bekalan elektrik ditangguhkan sehingga 31 Julai ini.

Beliau memperincikannya selepas menjadi tetamu program Selamat Pagi Malaysia.