Monday, December 16, 2019
updated 6:07 AM UTC, Dec 16, 2019

UTM, IPTA pertama jual nombor pendaftaran khas kenderaan 'UTM'

  • Published in Berita Semasa


KUALA LUMPUR - Universiti Teknologi Malaysia menyahut saranan kerajaan menjadi Institut Pengajian Tinggi Awam yang pertama menjual nombor pendaftaran khas kenderaan 'UTM' bermula semalam.

Inisiatif tersebut dilihat dapat membantu menjana pendapatan untuk pembangunan universiti berikutan penjualan nombor pendaftaran kenderaan khas kini berpotensi memberi pulangan yang baik.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, kelonggaran diberikan kepada IPTA menerusi jalinan kerjasama Kementerian Pengangkutan Malaysia, Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia dan Kementerian Pendidikan Malaysia dalam merealisasikan usaha itu.

Beliau melancarkan Bidaan Nombor Pendaftaran Khas ‘UTM’ di ibu negara.

Sesi pertama bidaan nombor pendaftaran khas ‘UTM’ dibuka bermula semalam sehingga 16 Dis bagi nombor pendaftaran bermula 1 hingga 9,999 sahaja. Bidaan boleh di buat menerusi laman web UTMeBida.

Antara universiti lain yang turut menyahut saranan tersebut termasuklah, Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Malaya, Universiti Utara Malaysia, Universiti Sains Malaysia, Universiti Teknologi Mara dan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia.