Monday, December 16, 2019
updated 5:28 AM UTC, Dec 16, 2019

Isytihar harta pertingkat kepercayaan rakyat sejajar komitmen negara banteras rasuah

  • Published in Berita Semasa


LAPORAN KHAS - Berbaki 4 hari sahaja lagi untuk semua Ahli Parlimen mengisytihar harta mereka. Setakat ini, sebahagian besar anggota parlimen Pakatan Harapan (PH) telah mengisytiharkan aset mereka kepada SPRM.

Bagaimanapun, anggota Parlimen Umno dan PAS masih enggan berbuat demikian.

Bagi Penganalisis Politik, Profesor Dr. Sivamurugan Pandian pengisytiharan harta oleh semua Ahli Parlimen akan memberi imej baik kepada pemimpin, sekaligus meningkatkan kepercayaan rakyat.

Apa lagi, Malaysia salah sebuah daripada 166 negara yang sudah meratifikasi atau menandatangani usaha PBB membanteras rasuah.

Jelas Profesor Dr. Sivamurugan lagi, sebagai salah sebuah negara yang terlibat untuk membanteras rasuah dan penyalahgunaan kuasa PBB itu, Malaysia juga perlu melahirkan pemimpin yang telus dan berintegriti, serta wajar dijadikan contoh kepada pemimpin pada masa akan datang.

Sekiranya tindakan mengisytihar harta itu dituruti oleh semua Ahli Parlimen, ia juga merupakan satu nilai tambah kepada kematangan berpolitik di bawah amalan demokrasi negara ini.

Tindakan mengisytiharkan harta juga merupakan penanda aras untuk membolehkan seseorang pemimpin dinilai. Malah pengisytiharan harta itu turut disokong oleh rakyat dan disifatkan lebih bersih serta benar-benar berkhidmat untuk mereka.

Persidangan Dewan Rakyat baru-baru ini bersetuju untuk melanjutkan tempoh pengisytiharan harta bagi Ahli Parlimen sehingga 5 Disember ini. Usul bagi melanjutkan tempoh pengisytiharan harta itu dikemukakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong.

(Laporan wartawan Farhana Azwanee Ismail)