Monday, December 16, 2019
updated 5:05 AM UTC, Dec 16, 2019

Pengubahan wang haram : Kes Penasihat Undang-undang Umno dipindahkan ke Mahkamah Tinggi

  • Published in Berita Semasa

KUALA LUMPUR - Kes pengubahan wang haram Penasihat Undang-Undang UMNO, Datuk Mohd Hafarizam Harun dibenar dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Collin Lawrence Sequerah membuat keputusan itu selepas mendengar permohonan peguam Datuk Hasnal Rezua Merican ketika pengurusan kes.

Datuk Hafarizam, 47 tahun berdepan dua pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM15 juta.

Permohonan pindahan kes itu difailkan pihak pembelaan pada 10 September 2019.

Permohonan dibuat mengikut Seksyen 417 (1) e, Kanun Tatacara Jenayah dimana Mahkamah Tinggi mempunyai kuasa memindahkan kes tersebut dari Mahkamah Sesyen berdasarkan elemen kes.

Tiada bantahan dibuat Timbalan Pendakwa Raya, Ashrof Adrin Kamarul.

Sebutan semula kes akan ditentukan kemudian oleh Mahkamah Tinggi.

Bagi pertuduhan pertama, Datuk Hafarizam didakwa memasukkan dua keping cek daripada akaun Datuk Seri Najib Tun Razak berjumlah RM11.5 juta ke dalam akaun bank milik firma guamannya, Hafarizam Wan & Aisha Mubarak antara 16 April dan 4 November 2014.

Manakala bagi pertuduhan kedua, dia didakwa memasukkan cek bernilai RM3.5 juta daripada akaun Datuk Seri Najib ke dalam akaun sama pada 12 Februari 2015.

Kedua-dua kesalahan dilakukan di CIMB Bank, cawangan Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).