Monday, July 13, 2020

updated 12:40 PM UTC, Jul 13, 2020

Sabah catat satu kes baharu COVID-19, libatkan pelajar IPT

  • Published in Berita Semasa

KOTA KINABALU, 13 Mei - Satu kes baharu positif COVID-19 direkodkan di Sabah semalam.

Individu berkenaan merupakan pelajar institusi pengajian tinggi yang telah disaring dan diambil sampel berdasarkan SOP Pengurusan Pergerakan Pelajar.

Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr Christina Rundi dalam kenyataannya berkata dianggarkan seramai 7,000 pelajar akan kembali ke tempat asal masing-masing sekaligus melibatkan pergerakan besar-besaran pelajar dari zon merah ke zon hijau dan kuning.

Setakat ini, sejumlah 1,612 pelajar telah diurus perjalanan mereka ke Semenanjung, Labuan dan Sarawak.

Manakala, 1,048 pelajar telah dihantar pulang ke daerah asal mereka di Sabah.

Selain saringan pelajar di institusi pengajian dalam negeri, saringan dan pengambilan sampel untuk pelajar yang kembali ke negeri ini juga sedang dilaksanakan di semua pintu masuk Kota Kinabalu, Sandakan dan Tawau.

Setakat ini 56,929 ujian makmal telah dijalankan di Sabah.

Negeri berkenaan merekodkan 328 kes positif COVID-19.

Dalam perkembangan lain, tiga individu di Sabah didapati ingkar perintah kuarantin di rumah.

Dua daripadanya merupakan orang awam di Sandakan manakala seorang lagi pelajar di Tawau.

Jelas Datuk Dr Christina Rundi, Jabatan Kesihatan tegas untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas mana-mana individu yang ingkar perintah pengawasan dan pemerhatian kuarantin di rumah.

Mereka boleh didakwa di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.