Wednesday, October 18, 2017
vital-top
updated 3:22 AM UTC, Oct 18, 2017

TAP Akan Dilancar Dalam Masa Terdekat - Hishammuddin

KOTA KINABALU  - Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata Trilateral Air Patrol (TAP) antara Malaysia, Indonesia dan Filipina di Laut Sulu akan dilancarkan di Pangkalan Udara Subang dalam masa terdekat.

Beliau berkata TAP adalah antara inisiatif yang dilaksanakan bagi mempertingkatkan pengawasan keselamatan dan kesiapsiagaan ruang udara dan maritim agar militan termasuk Daesh tidak menjadikan Laut Sulu sebagai laluan tikus untuk menceroboh masuk ke Malaysia

"Sebelum ini kita telah melaksanakan Trilateral Maritime Patrol (TMP) dengan mereka (Indonesia dan Filipina) dan dalam masa terdekat kita akan melaksanakan lagi TAP," katanya kepada pemberita selepas Majlis Perbarisan Penganugerahan Battle Honour 'Daulat Feb 2013', di Padang Merdeka semalam.

TMP telah dilancarkan di atas kapal Tentera Nasional Indonesia (TNI) Angkat Laut KRI dr. Suharso-990, di Pelabuhan Tarakan, pada 19 Jun lepas yang turut dihadiri rakan sejawat Hishammuddin, Ryamizard Ryacudu dari Indonesia dan Delvin N Lorenzana dari Filipina.

Hishammuddin berkata pelancaran TAP di Pangkalan Udara Subang itu nanti akan menjadi sejarah bagi negara kerana buat pertama kalinya bendera ketiga-tiga negara dikibarkan di Malaysia demi menentang ancaman militan.

(Sumber - Bernama)