Saturday, August 19, 2017
vital-top
updated 3:02 AM UTC, Aug 19, 2017

Malaysia-Indonesia Setuju Pergiat Cari Kaedah Terbaik Selesaikan Isu Sempadan

JAKARTA - Malaysia dan Indonesia bersetuju menggiatkan usaha mencari penyelesaian terbaik berhubung isu sempadan maritim dan darat antara kedua-dua negara, kata Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman.

Beliau berkata kedua-dua kerajaan juga bersetuju menandatangani memorandum persefahaman bersama yang dikenali sebagai MoU 20 untuk tujuan itu.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan bersama Menteri Luar Indonesia Retno Marsudi selepas menghadiri mesyuarat Suruhanjaya Bersama Untuk Kerjasama Bilateral (JCBC) ke-15, di sini pada Jumaat.

Datuk Seri Anifah berkata Malaysia dan Indonesia adalah rakan baik dan sentiasa bekerjasama secara dua hala dalam forum-forum peringkat wilayah dan multilateral.

Mesyuarat JCBC itu disertai oleh pegawai kanan Kementerian Luar kedua-dua negara dan Duta Besar Malaysia ke Indonesia Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim.

Isu sempadan darat dan laut antara kedua-dua negara masih tertangguh sehingga hari ini dan antara tuntutan bertindih itu ialah kawasan perairan Malaysia-Indonesia yang dikenali sebagai Ambalat iaitu blok perairan antara Sulawesi, Indonesia dan Sabah, Malaysia.

Isu tuntutan bertindih perairan itu timbul pada 2002 kerana perbezaan peta wilayah sempadan yang digunakan oleh kedua-dua negara.

Sementara itu, Retno berkata selain isu sempadan, perkara lain yang turut dibincangkan dalam mesyuarat JCBC tersebut ialah kerjasama dalam bidang perdagangan dan pelaburan, tenaga kerja dan usaha meningkatkan kerjasama pembanterasan permedagangan orang.

Katanya Malaysia adalah rakan niaga terdekat Indonesia dengan nilai dagangan kedua-dua negara bagi 2016 mencecah US$15 bilion.

((BERNAMA))