Saturday, August 19, 2017
vital-top
updated 3:02 AM UTC, Aug 19, 2017

Thailand-Malaysia Guna MLAT Untuk Siasat Syarikat Malaysia Terbabit Jenayah

BANGKOK - Pihak berkuasa Malaysia dan Thailand bersetuju agar semua permohonan untuk mendapatkan 'bukti dan maklumat' mengenai sebuah syarikat Malaysia yang disyaki menjalankan sindiket jenayah transnasional di Thailand, akan dibuat menerusi perjanjian bantuan perundangan bersama (MLAT).

Keputusan untuk menggunakan saluran rasmi itu diambil susulan pertemuan pegawai tinggi pihak penguat kuasa kedua-dua negara di Kuala Lumpur dari 25 hingga 27 Julai lalu.

"Pegawai Malaysia menyokong siasatan kami (terhadap syarikat itu) dan bersedia membantu kami," kata sumber berpangkat tinggi dalam agensi penguatkuasaan Thailand kepada Bernama ketika ditanya mengenai perkembangan berhubung pertemuan mereka dengan rakan seagensi dari Malaysia baru-baru ini.

Pertemuan di Kuala Lumpur itu katanya berlangsung dalam suasana mesra dengan pihak Thailand memohon 'bukti dan maklumat' khusus berhubung dakwaan terhadap sebuah syarikat Malaysia di negara ini.

Sumber berpangkat tinggi itu bagaimanapun enggan mendedahkan "bukti dan maklumat" khusus yang dipohon daripada pihak berkuasa Malaysia namun menyatakan ia penting kepada hasil siasatan mereka terhadap syarikat tersebut.

(Sumber - Bernama)