Wednesday, November 20, 2019
updated 12:18 PM UTC, Nov 20, 2019

Raja Muda Kedah dan Raja Puan Muda Kedah berkenan berangkat melawat keluarga dan rumah yang musnah dalam kebakaran

  • Published in Berita Semasa

 

                                                                                         Foto : Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah

ALOR SETAR -  Dugaan menimpa tujuh sekeluarga yang tinggal sehelai sepinggang selepas rumah yang didiami musnah dalam kebakaran mendapat perhatian Kerabat Diraja Kedah.

Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin dan Raja Puan Muda Kedah, Che Puan Muda Zaheeda Mohamad Ariff berkenan berangkat melawat rumah keluarga berkenaan di Kampung Belakang Stadium, Alor Setar.

Tengku Sarafudin Badlishah dan Che Puan Muda Zaheeda turut menghulurkan sumbangan kepada keluarga Abdul Rahman Bakar, 54 tahun; dan isterinya, Asmah Che Rose, 42 tahun dan lima anak mereka.

Baginda berdua turut menzahirkan rasa simpati diatas kejadian yang menimpa keluarga ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dan Pembasmi Kemiskinan, Halimaton Shaadiah serta Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Kerajaan Tempatan dan Jawatankuasa Perumahan, Tan Kok Yew.

Ketika kejadian petang Khamis lalu, Asmah berada di Surau Taman Alor Malai untuk menunaikan solat Maghrib.

Selesai solat, salah seorang anaknya datang memaklumkan rumah mereka terbakar.

Beliau yang bergegas pulang mendapati rumahnya terbakar hampir keseluruhan.

Asmah yang merupakan seorang suri rumah dan suami yang bekerja sebagai buruh kampung turut melahirkan rasa terharu diatas keberangkatan Raja Muda Kedah dan Raja Puan Muda Kedah menghulurkan bantuan kepada keluarganya.