Friday, July 28, 2017
vital-top
updated 4:09 AM UTC, Jul 28, 2017

TPM Ingatkan Jemaah Haji Jaga Nama Baik Malaysia

BAGAN DATUK - Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan jemaah haji agar sentiasa menjaga disiplin bagi mengekalkan pengiktirafan Malaysia sebagai negara punya jemaah haji terbaik dunia.

Beliau berkata pengiktirafan tersebut juga menunjukkan Tabung Haji telah melakukan yang terbaik selama 54 tahun menguruskan jemaah haji Malaysia bermula dari proses pemilihan, menyediakan kursus kepada bakal haji sehingga selesai.

"Pemerintah Arab Saudi sememangnya mengiktiraf jemaah Malaysia kerana jemaah kita sentiasa berkelakukan baik.

"Oleh itu kita perlu memastikan kelangsungan menjaga hubungan baik Malaysia dengan Arab Saudi yang telah terjalin sekian lama," katanya.

Beliau berucap di majlis meraikan 72 jemaah haji kawasan Parlimen Bagan Datuk bagi tahun ini di Dewan Datuk Mohamed Jamrah, Sungai Sumun.

Dalam majlis itu Datuk Seri Dr Ahmad Zahid yang juga Anggota Parlimen Bagan Datuk turut menyampaikan sumbangan peribadi wang tunai 500 Riyal (RM570) dan cendera hati kepada jemaah terlibat.

Beliau turut mengingatkan bakal jemaah agar meninggalkan perbezaan politik sebelum berangkat ke tanah suci.

(Sumber - Bernama)