Wednesday, May 27, 2020

updated 1:35 PM UTC, May 27, 2020

Portal PahangMart ganti penganjuran bazar Ramadan

  • Published in Berita Semasa

KUANTAN, 8 April - Kerajaan negeri Pahang akan melancarkan platform pasar raya dalam talian atau portal dikenali ‘PahangMart’ sebagai menggantikan Bazar Ramadan.

Ia kerana penganjuran Bazar Ramadan di 11 kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri Pahang tidak dibenarkan beroperasi.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dalam kenyataannya berkata, keputusan itu bagi meneruskan usaha membendung penularan COVID-19.

Katanya, dengan keputusan itu, sebanyak 94 lokasi penganjuran bazar Ramadan di seluruh negeri yang membabitkan 4,639 peniaga berdasarkan statistik pada penganjuran bazar Ramadan tahun lalu, tidak akan diadakan.

Platform pasar raya dalam talian atau portal itu akan memaparkan senarai pasar raya yang beroperasi di negeri itu beserta barangan jualan mereka.

Portal itu turut memaparkan senarai tapak bazar Ramadan serta gerai jualan mereka.

Pengguna boleh melihat gambar juadah yang disediakan lalu membuat tempahan.

Ia merupakan portal yang dibangunkan oleh pihak pengurusan aplikasi digital PahangGo.

PahangMart juga menyediakan perkhidmatan penghantaran dan mereka yang berminat mendaftar sebagai penghantar barangan dan makanan boleh menghubungi PahangGo di laman sosial mereka untuk maklumat lanjut.