Tuesday, June 2, 2020

updated 10:45 AM UTC, Jun 2, 2020

Kerajaan Perak umum beberapa inisiatif untuk rakyat

  • Published in Berita Semasa

IPOH, 31 Mac - Beberapa lagi inisiatif yang boleh meringankan impak ekonomi dan sosial susulan COVID-19, diumumkan Kerajaan Negeri Perak.

Antaranya bantuan khas sebanyak RM300 kepada pekerja am termasuk pengutip sampah dan pemotong rumput dan pegawai penguatkuasa serta RM500 kepada Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK).

Menurut Menteri Besar Perak Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, bayaran kepada pekerja am akan dibayar 3 kali melibatkan peruntukan sebanyak RM780,000 bermula April ini.

Selain itu, bantuan makanan dan keperluan diperluaskan kepada PDRM, ATM, RELA, APM, Pejabat Daerah dan Tanah dan PBT dengan kos hampir RM2.5 juta.

Terdahulu, beliau menyampaikan perutusan khas mengenai situasi semasa COVID-19 di Ipoh.

Sementara itu, penangguhan Bayaran Sewa Skim Pertapakan Kemudahan Asas dan Rancangan Perumahan Awam dilanjutkan kepada 6 bulan serta pengecualian sewa gerai PBT selama tiga bulan.

Turut ditambah baik, bantuan kewangan kepada 4 ribu Penjaja dan Peniaga Kecil sebelum ini ditingkatkan kepada 12,413 orang.