Sunday, 9 August 2020

updated 11:27 AM UTC, Aug 9, 2020

Pelajar Sekolah Pondok Bukit Keledang dikuarantin

  • Published in Nasional

 

BERA, 30 Mac - Perkampungan Sekolah Pondok Bukit Keledang di Bera, Pahang ditutup dan dikuarantin selepas terdapat individu yang tinggal di situ mempunyai kaitan dengan kluster perhimpunan tabligh di Masjid Seri Petaling.

Ekoran itu, pasukan petugas kesihatan berpakaian khusus kelihatan berada di kawasan yang dikawal itu dan tidak dibenarkan aktiviti keluar masuk.

Difahamkan, madrasah di perkampungan itu juga ditutup dan dianggarkan seramai 78 orang akan dipindahkan ke Institut Aminuddin Baki untuk dikuarantin manakala 51 orang lagi akan dikuarantin dengan pengawasan di rumah.

Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Guai, Datuk Norol Azali Sulaiman dalam satu kenyataan memaklumkan, pihak jabatan kesihatan telah melakukan prosedur sewajarnya di kawasan itu bagi mengelak penularan wabak berkenaan.

Bagi membendung wabak itu, kawalan diperketatkan dan mereka yang dikuarantin akan disediakan makanan oleh pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Beliau turut berterima kasih kepada pihak terbabit khususnya barisan hadapan yang berusaha mengekang penularan wabak COVID-19 dan berharap penduduk berhampiran memberikan kerjasama dan mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan berada di rumah masing-masing.