Friday, November 22, 2019
updated 4:01 PM UTC, Nov 22, 2019

KPDNHEP beri jaminan semua maklumat serta data peribadi pengguna Program Subsidi Petrol (PSP) adalah selamat dan dilindungi - Datuk Seri Saifuddin Nasution

  • Published in Berita Semasa

BANGI - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memberi jaminan semua maklumat serta data peribadi pengguna Program Subsidi Petrol (PSP) adalah selamat dan dilindungi. 

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution berkata, isu teknikal berkaitan pendedahan nombor akaun bank penerima PSP di laman web portal tersebut sudah ditangani dan ia hanya berlaku dalam tempoh yang singkat.

Jelas beliau, tindakan segera telah diambil oleh pasukan data kementerian untuk menyelesaikan masalah tersebut sebaik sahaja menyedari ia berlaku.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan program Hari Sukan Keluarga KPDNHEP 2019 di Stadium UNITEN, Bangi Selangor.

Sebelum ini, sebuah laman web berkaitan teknologi menunjukkan kelemahan portal PSP kerana membolehkan pengguna melihat nombor akaun bank setiap penerima lain pada kod sumber di halaman carian.

Susulan itu, KPDNHEP mengumumkan sudah mengambil langkah untuk meningkatkan sistem dan keselamatan data laman web sebelum mengaktifkannya semula untuk diakses orang ramai.