Tuesday, November 19, 2019
updated 5:03 AM UTC, Nov 19, 2019

Kembara Rahmah Zakat Wilayah Persekutuan MAIWP antara usaha melaksana agenda pembangunan ummah

  • Published in Berita Semasa

KUALA LUMPUR - Timbalan Menteri Pengangkutan merangkap Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Kamaruddin Jaffar menyambut konvoi Kembara Rahmah Zakat Wilayah Persekutuan MAIWP 2019 kira-kira jam 9.30 pagi di Masjid Al-Mukhlisin, Cheras.

Turut hadir, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof, Pengerusi MAIWP, Datuk Seri Syed Hussein Alhabshee dan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri

Datuk Seri Dr Mujahid menyerahkan sumbangan berbentuk mock cheque iaitu bantuan Peralatan Kesihatan dan Perubatan berjumlah 23.35 juta ringgit serta Bantuan Perniagaan, 3.13 juta ringgit kepada 200 asnaf yang hadir.

Beliau juga turut merasmikan Dewan Al-Mukhlisin yang baru siap dibina untuk kegunaan aktiviti kemasyarakatan di kawasan itu.

Konvoi diteruskan ke lokasi terakhir iaitu di pusat Komuniti Eco-Park, Lembah Pantai dan Yang Dipertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddi Al-Mustafa Billah Shah berkenan mencemar duli mengurniakan sumbangan zakat kepada golongan asnaf di sana.

Program Kembara ini merupakan salah satu inisiatif MAIWP dalam memperhebat hebahan usaha mereka melaksana agenda pembangunan ummah di Wilayah Persekutuan terutama menerusi program agihan zakat.

Sebanyak 100 motosikal berkuasa tinggi dan 20 teksi penerima bantuan zakat baitulmal MAIWP yang menerima Skim Bantuan Deposit Sewa Beli Teksi menyertai konvoi sejauh 35.9 KM itu.

Ia turut melibatkan penunggang bukan beragama Islam bertujuan membuktikan bahawa Islam membawa mesej sejagat iaitu menyeru kepada kesejahteraan dan kedamaian selari dengan gagasan Rahmatan Lil Alamin.