Logo

71 kes positif COVID-19 libatkan 217 penghuni Maahad Tahfiz

PUTRAJAYA ,29 Mac - Kementerian Kesihatan mengesahkan terdapat 71 kes positif jangkitan COVID-19 daripada 274 penghuni Maahad Tahfiz An-Nabawiyyah di Batu 23 Sungai Lui, Hulu Langat, Selangor.

Mengambil kira jumlah kes yang tinggi di sekolah itu, kerajaan memutuskan untuk melaksana Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di kawasan tersebut berkuatkuasa mulai tengah malam ini hingga 13 April.

Arahan kedua PKPD selepas Simpang Renggam Johor itu, meliputi kawasan Batu 21 hingga Batu 24 Sungai Lui.

Menerusi kenyataan medianya, Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, PKPD tersebut melibatkan 3,918 penduduk merangkumi 700 buah rumah.

Ia termasuk tujuh kampung iaitu dua perkampungan Orang Asli dan lima perkampungan Melayu.

PKPD akan membolehkan aktiviti pengesanan kes dari rumah ke rumah dilaksana sepanjang tempoh 14 hari.

Semua penduduk dan pelawat di kawasan tersebut tidak dibenar keluar rumah.

Semua aktiviti perniagaan juga dihentikan.

Makanan asas yang mencukupi untuk tempoh 14 hari akan dibekalkan Jabatan Kebajikan Masyarakat dengan Pangkalan Perubatan akan dibuka.

Penduduk yang memerlukan bantuan atau mempunyai sebarang pertanyaan boleh menghubungi talian khas 03-8925 4809 atau 8911 4200.

Hak Cipta Terpelihara © 2015 Radio Televisyen Malaysia.