Friday, June 23, 2017
vital-top
updated 9:15 AM UTC, Jun 23, 2017

Kerajaan Sedia 200,000 Unit PPA1M Menjelang 2020 - PM

PUTRAJAYA - Kerajaan menyasarkan untuk menyediakan 200,000 unit Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M), melebihi sasaran asal 100,000 unit di seluruh negara menjelang 2020, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata ia merupakan cadangan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa serta usaha kerajaan dalam memastikan kebajikan serta keselesaan penjawat awam sentiasa terjaga.

Beliau berkata adalah menjadi impian dan idaman setiap insan lebih-lebih lagi mereka yang sudah berkeluarga untuk memiliki sebuah rumah yang bersesuaian dengan kemampuan, selera dan keperluan citarasa.

Beliau berucap pada majlis penyerahan kunci kepada pemilik PPA1M Selasih di Presint 17, di sini.

Pada 23 April lalu, kerajaan bersetuju membina 100,000  unit kediaman di bawah PPA1M di seluruh negara.

Datuk Seri Najib berkata setakat ini hampir 3,563 unit PPA1M telah siap dan diduduki. 

Beliau berkata harga PPA1M yang ditawarkan adalah lebih rendah daripada harga pasaran yang bernilai antara RM200,000 hingga RM300,000 mengikut keluasan dan bagi setiap unit PPA1M, nilai subsidi yang disediakan oleh kerajaan adalah antara RM25,000 sehingga RM38,000 seunit bergantung kepada keluasan.  

Selain itu, beliau berkata Perbadanan Putrajaya telah bersetuju supaya kadar bayaran bulanan untuk menyelenggara PPA1M dikurangkan kepada 16 sen daripada 20 sen sekaki persegi.   

((BERNAMA))