Tuesday, October 22, 2019
updated 12:55 AM UTC, Oct 22, 2019

Portal Perundingan Awam Bersatu (UPC) : Rekod penglibatan 23 kementerian dan agensi kerajaan untuk tempoh 6 bulan

  • Published in Berita Semasa


SEPANG UTARA, SELANGOR - Portal Perundingan Awam Bersatu (UPC) telah merekodkan penglibatan 23 kementerian dan agensi kerajaan bagi tempoh Mac hingga September tahun ini.

Pada masa sama, 36 dokumen perundingan telah dimuat naik ke dalam portal tersebut bagi mendapatkan maklum balas orang ramai.

Perkara itu diumumkan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Darell Leiking yang membacakan teks ucapan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail pada Perasmian Konvensyen Kebangsaan Mengenai Amalan Kawal Selia Yang Baik.

Mengulas lanjut, jumlah pengguna berdaftar portal itu sudah mencapai 3,252 dengan 1,156 pengguna daripada sektor awam manakala baki 2,096 pengguna daripada sektor swasta.

Portal UPC itu secara rasminya turut dilancarkan sempena konvensyen tersebut yang disertai lebih seribu peserta terdiri daripada pegawai kerajaan, wakil dewan perniagaan dan universiti tempatan.

Portal berkenaan diwujudkan Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), sebagai platform bagi pihak berkepentingan memberi maklum balas terhadap peraturan serta polisi yang akan diwujudkan atau dipinda.