Friday, July 10, 2020

updated 4:53 AM UTC, Jul 10, 2020

LZS sedia peruntukan khas RM15 juta untuk kebajikan dan perubatan susulan PKP

  • Published in Nasional

SHAH ALAM, 22 Mac - Lembaga Zakat Selangor (LZS) memperuntukkan agihan khas berjumlah RM15 juta bagi memenuhi keperluan kebajikan dan perubatan susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat penularan wabak COVID-19.

Bantuan itu dikhususkan kepada peniaga kecil dan pekerja golongan berpendapatan rendah (B40) yang terjejas.

Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Saipolyazan M Yusop dalam satu kenyataan berkata, peruntukan itu turut disalurkan bagi menampung keperluan peralatan perubatan di hospital yang beroperasi menangani COVID-19 dan bantuan makanan kepada pelajar institusi pengajian tinggi (IPT).

Golongan yang terjejas boleh memohon bantuan bermula 25 Mac dengan menghubungi Zakat Selangor di 1-300-88-4343 yang beroperasi setiap Isnin hingga Jumaat bermula pukul 10 pagi hingga 3 petang.

Sementara itu, LZS juga akan mempercepatkan penyaluran Bantuan Kewangan Bulanan pada 23 Mac kepada asnaf terbabit yang lazimnya menerima pada setiap 25 hari bulan.

Agihan bantuan bulanan lain akan berjalan seperti biasa.