Logo

Penduduk terjejas akibat banjir di Kedah semakin berkurangan

 

BALING, KEDAH - Penduduk terjejas banjir yang masih ditempatkan di pusat pemindahan sementara di Baling, Kedah, semakin berkurangan.

Sehingga pukul 3.00 petang tadi, 169 penduduk melibatkan 54 buah keluarga masih ditempatkan di pusat pemindahan sementara berbanding 170 penduduk, pagi tadi.

Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat, JKM Daerah Baling, Shamsul Izrin Isahak berkata, 145 penduduk ditempatkan di Kompleks Sukan Baling.

Manakala 24 penduduk di Dewan Tun Razak Lama.

Selain JKM, Lembaga Zakat Negeri Kedah, LZNK turut turun padang menghulurkan bantuan kepada penduduk terjejas.

Bantuan berupa makanan keperluan harian dan beberapa barangan lain itu disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif LZNK, Syeikh Zakaria Othman.

Hujan lebat beserta angin kencang yang berlaku Selasa lalu menyebabkan air Sungai Ketil meningkat secara mendadak, sekaligus menyebabkan beberapa kawasan di Daerah Baling kembali dilanda banjir.

Limpahan air sungai memasuki rumah penduduk yang tinggal di tiga buah kampung iaitu KampungTanjung Merbau, Kampung Lubuk Pedati dan Kampung Pantai.


Hak Cipta Terpelihara © 2015 Radio Televisyen Malaysia.