Friday, December 13, 2019
updated 1:02 PM UTC, Dec 13, 2019

Agong titah rakyat hayati prinsip Rukun Negara

  • Published in Berita Semasa

KUALA LUMPUR - Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan seluruh rakyat Malaysia agar menghayati prinsip Rukun Negara bagi pemangkin semangat patriotisme dalam masyarakat.

Al-Sultan Abdullah menegaskan bahawa prinsip-prinsip yang terkandung dalam Rukun Negara merupakan panduan kepada perilaku rakyat Malaysia yang diasaskan daripada acuan budaya dan ajaran tempatan.

Baginda turut mengajak seluruh rakyat Malaysia untuk mensyukuri fitrah masyarakat majmuk dan tidak mengadu domba dengan isu yang boleh membawa kepada persengketaan dan permusuhan.

Baginda Al-Sultan Abdullah bertitah demikian dalam program Wacana Diraja Islam Agama Rahmah Raja Berpelembagaan dan Patriotisme di Institut Kefahaman Islam Malaysia di ibu negara.

Turut berangkat, Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Antara pengisian program yang turut dihadiri oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof ini termasuk Perasmian Pelancaran buku yang disempurnakan oleh baginda sultan yang bertajuk 'Islam dan Hubungan Antara Penganut Agama'.