Friday, December 13, 2019
updated 1:02 PM UTC, Dec 13, 2019

Kemalangan : Kelindan lori maut tersepit akibat dirempuh van

  • Published in Berita Semasa

 

LANGKAWI - Seorang kelindan lori sampah Environment Idaman (E-Idaman) maut tersepit akibat dirempuh sebuah van.

Kejadian yang berlaku di Jalan Pantai Tengah Temonyong Langkawi awal pagi tadi menyebabkan mangsa Mohamad Abdullah, 16 tahun maut ditempat kejadian.

Menurut Ketua Polis Daerah Langkawi, Supritendan Mohd Iqbal Ibrahim, pihaknya menerima panggilan berkenaan insiden kira-kira pukul 6.55 pagi.

Beliau berkata siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila pemandu van dari arah Pantai Tengah menghala ke Temonyong hilang kawalan dan merempuh belakang lori yang berhenti di kiri bahu jalan untuk memungut sampah.

Akibat rempuhan, mangsa yang berada di belakang lori tersepit dan meninggal dunia. Mayat mangsa dibawa ke Hospital Langkawi untuk bedah siasat.

Manakala pemandu van M. Saravanan, 43 tahun, cedera parah dan kini dirawat di Zon Merah hospital yang sama.

Kes disiasat dibawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.