Logo

COVID-19: Kes meningkat, Itali kuat kuasa kuarantin


ITALI, 21 Mac
- Hospital utama di bandar Bergamo, Itali kini berdepan dengan jumlah peningkatan pesakit COVID-19.

Berikutan itu, Itali akan menguatkuasakan langkah kuarantin lebih ketat selepas kes jangkitan terus meningkat.

Unit Rawatan Rapi hospital tersebut kini penuh dengan pesakit dan tidak mempunyai doktor yang mencukupi.

Ramai pesakit yang masuk ke hospital terpaksa diletakkan di atas katil sebelum menunggu rawatan lanjut.

Ramai juga pesakit terpaksa berbaris di wad yang sempit, manakala jururawat bertukus lumus memberi bantuan kecemasan.

Lebih 50 pesakit datang setiap hari dalam keadaan yang kritikal.

Wabak yang semakin meningkat di Itali mengakibatkan tahap penularan yang besar dalam kalangan kakitangan perubatan termasuk jururawat dan doktor.

Bandar Bergamo yang terletak di wilayah Lombardy adalah kawasan dimana ratusan kematian akibat COVID-19 dilaporkan.

Sebelum ini, Pihak berkuasa Wilayah Lombardia yang paling teruk terjejas, berusaha membina pusat rawatan intensif baharu untuk pesakit COVID-19 yang semakin bertambah.

Gabenor wilayah Lombardia, Attilio Fontana, memutuskan untuk menggunakan ruang pameran Milan bagi membina 400 bilik ICU yang baharu.

Itali dengan 60 juta penduduk kini mencatat 4,000 kematian.

Jumlah keseluruhan yang dijangkiti di negara itu adalah 47,000 orang.

Itali menjadi negara pertama di luar China mengumumkan perintah berkurung di seluruh negara akibat ancaman COVID-19.

 



Hak Cipta Terpelihara © 2015 Radio Televisyen Malaysia.