Yang di-Pertuan Agong menitahkan rakyat patuhi Perintah Kawalan Pergerakan

KUALA LUMPUR, 20 Mac - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sekali lagi menitahkan rakyat supaya mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan.

Baginda, hari ini berkenan, turun padang, meninjau sekitar ibu negara dengan memandu sendiri kenderaan, ditemani putera Seri Paduka, Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah.

Apa yang diperhatikan Al-Sultan Abdullah, masih banyak kenderaan berada di jalan raya, dan baginda menitahkan supaya ia dapat dikurangkan secepat mungkin demi kebaikan bersama.

Video dimuat naik menerusi akaun Instagram Istana Negara memaparkan, baginda turut berhenti di satu sekatan jalan raya di ibu negara.

Menurut Istana Negara, antara kawasan yang dilawati Yang di-Pertuan Agong ialah Jalan Semantan, Sri Hartamas, Jalan Loke Yew, Jalan Ampang, Jalan Bukit Bintang, Jalan Sultan Ismail dan KLCC.

Perintah Kawalan Pergerakan bermula 18 Mac dan akan berakhir pada 31 Mac.