Logo

Pemain serta jurulatih badminton negara ke All England disahkan negatif Covid-19

KUALA LUMPUR, 20 Mac - 21 pemain dan 7 jurulatih termasuk pemain badminton negara yang pulang ke tanah air selepas beraksi di kejohanan All England baru-baru ini disahkan negatif COVID-19.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) hari ini, kesemua pemain kebangsaan akan terus mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan yang dilaksanakan kerajaan.

BAM memutuskan pemain kebangsaan akan menjalani program latihan individu sebelum memulakan latihan bersama sebaik sahaja perintah tersebut ditarik balik.

Dalam pada itu, pihaknya akan terus berhubung rapat dengan pihak pakar Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN) bagi memastikan langkah bertepatan dapat diambil.

Terdahulu, sebaik tiba dari Birmingham, kesemua pemain negara kecuali 4 pemain profesional menjalani kuarantin secara sukarela di Akademi Badminton Malaysia di Bukit Kiara.

Antara pemain yang terbabit adalah perseorangan wanita, Soniia Cheah, beregu lelaki, Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei, beregu wanita, Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean dan Vivian Hoo-Yap Cheng Wen.

Juga melibatkan beregu campuran, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jamie dan Tan Kian Meng-Lai Pei Jing.

Hak Cipta Terpelihara © 2015 Radio Televisyen Malaysia.