Friday, December 13, 2019
updated 1:02 PM UTC, Dec 13, 2019

ERC cadang proses penamaan calon dilakukan secara dalam talian

  • Published in Berita Semasa

Jawatankuasa Pembaikan Sistem dan Undang-undang Pilihan Raya (ERC) mencadangkan proses penamaan calon dilakukan secara dalam talian bagi menjimatkan kos pada pilihan raya akan datang.

Pengerusi ERC, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman berkata, tempoh pencalonan juga akan dipanjangkan sehingga seminggu berbanding sejam yang ditetapkan sekarang.

Menurut beliau, peraturan baharu itu jika dilaksana membolehkan calon mendaftar tanpa membabitkan sebarang perarakan seperti kelaziman.

Ia sekaligus menjimatkan kos dari segi kawalan keselamatan polis.

Cadangan itu juga akan mengelak sebarang insiden atau kekecohan yang tidak diingini selain manipulasi oleh pihak tertentu bagi menghalang parti yang bakal bertanding menamakan calon mereka.

Selepas seminggu tempoh pencalonan berakhir, nama calon akan dipamerkan untuk memberi peluang kepada parti yang bertanding membuat bantahan.

Dalam pada itu, ERC juga akan mengemukakan satu undang-undang khusus bagi memastikan semua organisasi media bergerak bebas dan pada masa yang sama membuat liputan pilihan raya yang adil.

Ia dijangka mampu menghalang media dijadikan alat berkempen oleh parti tertentu yang turut memiliki pengaruh terhadap pertubuhan media berkenaan.