Friday, May 26, 2017
vital-top
updated 3:42 PM UTC, May 26, 2017

13 Harga Barangan Terkawal Bersempena Pesta Kaamatan Dan Hari Gawai

KUCHING  - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) menetapkan harga maksimum borong dan runcit bagi 13 jenis harga barangan terkawal di bawah Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Pesta Kaamatan dan Hari Gawai 2017.

Penetapan harga barangan terkawal tersebut diumumkan oleh menteri berkenaan, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, dengan tempoh kuat kuasa selama tujuh hari dari 25 Mei hingga 31 Mei bagi Pesta Kaamatan dan 27 Mei hingga 2 Jun bagi Hari Gawai.

Katanya barangan kawalan tersebut ialah ayam hidup, ayam standard, ayam super, ayam tua hidup, kepak ayam, telur ayam gred A, B dan gred C, daging kerbau import (India), bawang merah kecil (India), bawang putih (China), daging babi (perut), daging babi (daging dan lemak) dan babi hidup.

Hamzah berkata undang-undang mewajibkan peniaga menjual barangan terkawal tidak melebihi harga maksimum yang ditetapkan oleh kerajaan dan meletakkan tanda harga berwarna merah jambu ke atas barangan harga terkawal bagi membezakan dengan barangan lain.

"Tindakan tegas akan dikenakan terhadap peniaga yang gagal mematuhi peraturan harga yang ditetapkan. Individu boleh didenda maksimum RM100,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya atau dikompaun sehingga RM50,000 manakala pertubuhan/syarikat, denda maksimum tidak melebihi RM500,000 atau boleh dikompaun sehingga RM250,000.

(Sumber - Bernama)