Saturday, November 18, 2017
vital-top
updated 9:15 AM UTC, Nov 18, 2017

Malaysia Dan Indonesia Akan Bertindak Balas Terhadap Negara Yang Boikot Minyak Sawit - PM

KUALA SELANGOR  - Malaysia dan Indonesia akan bertindak balas terhadap negara-negara termasuk Kesatuan Eropah (EU) yang memboikot minyak sawit, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata beliau telah berbincang dengan Presiden Indonesia Joko Widodo ketika Sidang Kemuncak ASEAN di Manila baru-baru ini, supaya Malaysia dan Indonesia melalui Majlis Negara Pengeluar Minyak Sawit (CPOPC) meyakinkan negara-negara berkenaan bahawa dakwaan negatif terhadap minyak sawit adalah tidak berasas sama sekali.

"Kita mesti beritahu mereka (negara-negara yang memboikot minyak sawit), Malaysia dan Indonesia bukan negara yang tidak ada kemampuan, kita juga beli banyak produk daripada negara mereka.

"...dan siapa yang memboikot minyak sawit mungkin akan berdepan tindakan balas dari Malaysia dan Indonesia," tegasnya ketika berucap merasmikan Sambutan 100 Tahun Industri Sawit Negara di Ladang Tennamaram di Bestari Jaya.

Datuk Seri Najib turut menggariskan lima anjakan transformasi yang perlu dilakukan bagi memastikan masa depan industri sawit menjadi lebih cemerlang untuk tempoh 100 tahun akan datang, antaranya memperkenalkan Skim Pensijilan Mampan Malaysia (MSPO).

"Pada hari ini, industri sawit negara berdepan dengan pelbagai cabaran, tuduhan dan persepsi negatif oleh beberapa kumpulan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mengaitkan kononnya pembangunan tanaman sawit tidak mampan, mencemarkan alam sekitar dan menyebabkan penebangan hutan berlaku di negara kita.

"Justeru, bagi menangani permasalahan ini khususnya tuduhan terhadap isu kemampanan, kerajaan telah mengambil langkah proaktif dengan memperkenalkan MSPO yang akan dilaksana secara mandatori mulai 31 Dis 2019. Ini juga akan menjaga kepentingan industri sawit dan eksport kita ke negara-negara maju," katanya.

(Sumber -Bernama)