Wednesday, September 20, 2017
vital-top
updated 4:01 PM UTC, Sep 20, 2017

Kaji 3 Elemen Sumbang Kenaikan Kos Sara Hidup Untuk Tangani Isu Kemiskinan Bandar

PUTRAJAYA  - Elemen yang menyumbang kepada kenaikan kos sara hidup di bandar khususnya yang melibatkan barang makanan, perumahan dan pengangkutan perlu dikaji terlebih dahulu bagi menangani isu kemiskinan bandar secara komprehensif dan berkesan, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata ia selaras dengan corak perbelanjaan isi rumah yang tipikal iaitu perbelanjaan untuk makanan menyumbang kepada peratusan yang tinggi diikuti dengan pengangkutan dan perumahan.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi (HLC) Menangani Kemiskinan Bandar, beliau berkata gabungan ketiga-tiga elemen itu sahaja akan menggunakan dua pertiga daripada pendapatan isi rumah.

"Kesan langsung daripada kenaikan kos sara hidup telah menyebabkan timbulnya isu yang agak kritikal pada masa ini iaitu kemiskinan bandar.

"Kos sara hidup yang tinggi di bandar menyebabkan golongan miskin bandar menjadi lebih tertekan berbanding dengan kelompok miskin luar bandar," katanya.

Mesyuarat HLC memfokuskan kepada perbincangan untuk merangka strategi-strategi penyelesaian yang khusus bagi menangani isu-isu kemiskinan bandar secara holistik.

Lapan kertas pertimbangan dan empat kertas makluman dibincangkan di mana beberapa keputusan dan cadangan penyelesaian jangka masa pendek, sederhana dan panjang dipersetujui untuk dilaksanakan secara bersepadu oleh pelbagai kementerian dan agensi kerajaan berkaitan.

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid berkata mesyuarat bersetuju untuk melaksanakan beberapa strategi termasuk meningkatkan pengeluaran dalam negara secara optimum dan pengedaran bekalan yang cekap dan berkesan bagi menangani kenaikan harga barang.

Katanya sebuah jawatankuasa bersama antara kementerian akan ditubuhkan bagi mengkaji kos pengeluaran dan kos di sepanjang rantaian pengedaran bagi mengelak manipulasi harga oleh orang tengah.

Timbalan Perdana Menteri berkata kerajaan juga bersedia mengkaji cadangan pelaksanaan program bantuan makanan kepada golongan miskin bandar yang melibatkan pelbagai kementerian melalui pendekatan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) serta penglibatan pihak syarikat pasar raya besar dalam menyediakan makanan sejuk beku untuk golongan miskin tegar di bandar.

Jika program berkenaan berjaya, pendekatan tersebut dikembangkan ke institusi pengajian tinggi negara melalui program makanan bermasak yang dijual pada harga berpatutan kepada pelajar khususnya di bandar-bandar besar di mana pelaksanaannya akan menggunakan bekas pelajar sebagai operator atau petugas, katanya.

(Sumber _ Bernama)