Wednesday, October 16, 2019
updated 3:08 PM UTC, Oct 16, 2019

Kerajaan Persekutuan bercadang untuk memberikan peruntukan tambahan bagi Kempen Tahun Melawat Malaysia 2020 - Menteri Kewangan

  • Published in Berita Semasa

KUALA LUMPUR - Kerajaan Persekutuan bercadang untuk memberikan peruntukan tambahan bagi Kempen Tahun Melawat Malaysia 2020.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata, pemain industri pelancongan yang mahu memberi pendapat atau sebarang maklumbalas mengenai cadangan itu boleh mengemukakannya di Portal Belanjawan 2020 atau pada sesi kumpulan fokus anjuran kementeriannya.

Menerusi teks ucapannya pada Sesi Kumpulan Fokus Menggalakkan Pelancongan Dan Kawasan Strategik Lain Di Kota Kinabalu, Sabah katanya kerajaan memberi penekanan kepada pendekatan usahasama.

Tahun 2020 merupakan Tahun Melawat Malaysia dan kerajaan telah mensasarkan peningkatan ketibaan pelancong seramai 30 juta.

Beliau yakin, Sabah akan menjadi antara penyumbang utama kepada sasaran tersebut berikutan tarikan dan keunikan ditawarkan negeri itu.

Untuk menyokong usaha negara dalam aktiviti pelancongan yang semakin meningkat, kerajaan dalam Belanjawan 2019 bersetuju untuk mengembalikan 50 peratus dari hasil cukai pelancongan negeri masing-masing.

Sehingga Mac 2019, RM 67.7 juta diagihkan kepada semua kerajaan negeri dan Sabah menerima peruntukan tertinggi sebanyak RM 12.7 juta.