Logo

Kanak-kanak terselamat kemalangan terima pencen penakat PERKESO

KOTA BHARU, 26 Feb - Kanak-kanak yang terselamat dalam kemalangan di Sungai Siput, Perak 13 Februari lalu; menerima pencen penakat Pertubuhan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO). 

Dalam tragedi itu, Mohammad Fariz Iskandar Mohamad Faiz, 3 tahun, kehilangan kedua-dua ibu bapanya.

Mohammad Fariz Iskandar menerima pencen penakat ibu bapanya sebanyak RM977.12 sebulan hingga dia berusia 21 tahun atau hingga tamat pengajian Ijazah Sarjana Muda pertama sekiranya berjaya melanjutkan pengajian ke peringkat universiti.

Menurut Pengarah PERKESO Kelantan, Nora Yaacob semakan awal mendapati arwah Lans Koperal Mohamad Faiz Bukhari dan isterinya, Nik Idayu Nik Hasan pernah mencarum dengan PERKESO.

Beliau menyatakannya selepas Majlis Penyerahan Cek Faedah Pengurusan Mayat (FPM) di rumah keluarga arwah di Kampung Jambu, Panji.

FPM kedua-dua arwah berjumlah RM4 ribu disampaikan kepada waris kanak-kanak itu, Che Senah Che Awang.

Dalam nahas tersebut, Mohamad Faiz yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah Sungai Siput meninggal dunia bersama isteri, Nik Idayu, anak bongsunya, Mohammad Faqih Irshad dan adik ipar, Nik Ifieka.

Hak Cipta Terpelihara © 2015 Radio Televisyen Malaysia.