Friday, July 28, 2017
vital-top
updated 4:09 AM UTC, Jul 28, 2017

PM Lancar Pelan Tindakan Produktiviti Malaysia

PUTRAJAYA  - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak melancarkan Pelan Tindakan Produktiviti Malaysia, dengan menetapkan sasaran pertumbuhan minima produktiviti buruh kepada 3.7 peratus setiap tahun menjelang 2020.

Datuk Seri Najib, yang juga Menteri Kewangan berkata pelan tindakan itu menggariskan lima teras strategik, 10 inisiatif nasional, 43 inisiatif sektor dan 16 item tindakan yang akan diguna pakai secara holistik untuk membuka potensi produktiviti di peringkat nasional, sektor dan perusahaan.

Lima teras strategik itu ialah menghasilkan tenaga kerja masa hadapan, memacu pendigitalan dan inovasi; memastikan akauntabiliti industri terhadap produktiviti; membentuk ekosistem yang teguh dan menentukan mekanisme pelaksanaan yang padu, katanya.

"Peningkatan produktiviti yang berkesan akan menyediakan asas untuk merangsang pertumbuhan ekonomi secara mampan agar ia dapat menyumbang kepada aspirasi negara berpendapatan tinggi serta mencapai status 20 negara tertinggi dunia dari segi pertumbuhan ekonomi pada 2050," katanya ketika merasmikan Pelan Tindakan Produktiviti Malaysia.

Beliau berkata aspirasi itu selaras dengan Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11) yang menekankan kepentingan produktiviti sebagai pemacu utama pertumbuhan ekonomi negara.

"Sebab itu, kerajaan hendak meningkatkan produktiviti buruh sebanyak 3.7 peratus setiap tahun. Hari ini, pencapaian ini masih di bawah sasaran (3.3 peratus pada 2015)," katanya.

Datuk Seri Najib berkata Majlis Produktiviti Kebangsaan, yang dipengerusikan beliau, akan bermesyuarat pada setiap suku tahun dan memperoleh data produktiviti bagi setiap suku tahun.

"Sebagai prosedur operasi standard (SOP), saya sebagai pengerusi majlis akan menulis kepada kementerian, agensi dan sektor swasta yang berkenaan untuk menentukan apa yang patut mereka lakukan untuk mencapai sasaran peningkatan produktiviti pada kadar tertentu.

"Ia bagi kementerian dan agensi yang berkaitan. Ini untuk menunjukkan kita serius dalam memacu ke arah itu," katanya.

(Sumber - Bernama)