Wednesday, September 18, 2019
updated 3:02 PM UTC, Sep 18, 2019

Penolong Pengarah JPN P.Pinang berdepan tuduhan menjual myKad,sijil kelahiran

  • Published in Berita Semasa

GEORGE TOWN - Seorang Penolong Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Pulau Pinang, antara enam individu yang berdepan 32 tuduhan bersabit penjualan dokumen pengenalan diri (myKad) dan sijil kelahiran kepada warga asing.

Mohd Faizul Ariffin, 34, yang diwakili peguam Sukhindarpal Singh dihadapkan ke mahkamah Sesyen 1 dan 2 George Town.

Dua pertuduhan utama yang dihadapinya adalah pengeluaran dokumen pengenalan diri iaitu sijil kelahiran Malaysia palsu bagi untuk memudahkan urusan migran.

Mengikut pertuduhan Seksyen 26E Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (Pindaan) 2010 itu, tiada pengakuan direkodkan oleh tertuduh.

Faizul bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas kesalahan dibawah Seksyen 466 Kanun Keseksaan dan Peraturan 25(1)(I) PPPN kerana mengeluarkan kad pengenalan kepada 5 individu warga China

Sementara itu, Lai Chin Wah, dihadapkan dengan 5 pertuduhan, Loh Chan Cheong, 4 pertuduhan, Chen Guan Chai, 6 pertuduhan, Yap Cheng Wah, 4 pertuduhan dan Faizul Tan Abdullah, 2 pertuduhan.

Kesalahan dilakukan sekitar bulan Januari hingga Februari 2019.

Jika sabit kesalahan, mereka berhadapan hukuman penjara 7 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya sekali.

Kejayaan pembongkaran sindiket pengelauran mykad dan kad kelahiran palsu itu merupakan rentetan daripada satu kes yang berlaku di pejabat imigresen Pulau Pinang.

Menurut Ketua Pengarah Imigresen Datuk Khairul Dzaimee Daud dalam kes yang pertama tahun ini, seorang wanita Cina ditahan ketika menyerahkan Mykad yang didakwa miliknya semasa memohon pasport antarabangsa.

Tingkah laku suspek yang hanya tersenyum setiap kali disoal menyebabkan pegawai Imigresen mengesyaki individu Cina yang berada di hadapannya bukan rakyat tempatan.