Friday, October 18, 2019
updated 10:23 AM UTC, Oct 18, 2019

Seludup PATI, Tekong warga Thailand antara ditahan

  • Published in Berita Semasa

KANGAR - Seorang lelaki warga Thailand disyaki dalang utama penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI) dan seorang lelaki tempatan, ditahan Jabatan Imigresen Perlis.

Mereka disyaki terlibat membawa PATI warga Maynmar etnik Rohingya ke Perlis, melalui jalan laut pada Februari dan April 2019.

Warga Thailand yang dikenali sebagai ‘Mid Gajah’ berusia 50 tahun dipercayai tekong membawa masuk PATI dari Myanmar, manakala lelaki tempatan dikenali sebagai ‘Mubin’ berasal dari Langkawi menjadi orang tengah di negara ini.

Pada Februari 2019, seramai 22 PATI Rohingya dan pada April pula, 40 orang PATI berkenaan mendarat di Kuala Sungai Baru, Perlis.

Pengarah Imigresen Perlis, Basri Othman berkata, kedua-dua lelaki terbabit di tahan dalam operasi disekitar Kuala Perlis, semalam ketika cuba membawa masuk dua PATI warga Myanmar yang turut ditahan.

Turut dirampas sebuah sampan kayu yang digunakan bagi menyeludup PATI berkenaan, bernilai 15 ribu ringgit.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di Kangar.

Imigresen Perlis percaya dengan penahanan dalang utama akan dapat mengesan beberapa orang individu lain yang turut telibat dalam penyeludupan PATI khususnya ke negeri Perlis.

Kesemua suspek direman selama 14 hari bermula semalam bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 117 Kanun Keseksaan Tatacara Jenayah dan Seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002).