Wednesday, September 18, 2019
updated 1:31 PM UTC, Sep 18, 2019

Penubuhan konsortium bantu nelayan dipertimbang

  • Published in Berita Semasa

PUTRAJAYA - Kementerian Pertanian Dan Industri Asas Tani bercadang mewujudkan sebuah konsortium bagi membantu para nelayan meningkatkan jumlah pendapatan mereka.

Jelas Menterinya, Datuk Salahuddin Ayub, konsortium tersebut mungkin boleh disertai pihak swasta untuk tampil membuat pelaburan dalam menyediakan segala kemudahan dan teknologi moden bagi menangkap ikan kepada nelayan.


Datuk Salahuddin berkata pendekatan atau idea baharu seperti mewujudkan sebuah konsortium tersebut perlu dilihat bagi membantu para nelayan di negara ini.

Setakat ini idea tersebut sudah dibincangkan bersama Ketua Pengarah Perikanan, Datuk Munir Mohd Nawi.

Tambah beliau, aspek tersebut mungkin boleh disediakan oleh pihak yang melabur dalam konsortium dan para nelayan boleh turun ke laut dan memperolehi lebih tangkapan ikan untuk dijual dan dijadikan sebagai sumber pendapatan.

Kedua-dua pihak iaitu nelayan dan para pelabur dijangka akan mendapat keuntungan melalui kaedah terbaharu yang sedang difikirkan tersebut.

Datuk Salahuddin menyatakannya selepas melancarkan Dokumen Pengembangan Perikanan (DPP) di Putrajaya.

DPP yang dihasilkan Jabatan Perikanan mempunyai 7 buah dokumen sokongan perkhidmatan pengembangan bagi memperkukuhkan mutu perkhidmatan industri perikanan negara.

Ia termasuk Pelan Strategik Pengembangan Perikanan 2018-2030, Metodologi Pengembangan : Integrasi Pengembangan Perikanan serta Buku Pemantauan Dan Penilaian.