Sunday, 27 September 2020

updated 5:07 AM UTC, Sep 27, 2020

Paras semasa air di Empangan Beris, Sik dan Sungai Muda mencukupi untuk penduduk Kedah dan Pulau Pinang

  • Published in Berita Semasa

KOTA KUALA MUDA, 18 Feb - Pengguna di Kedah dan Pulau Pinang tidak perlu panik dengan paras semasa air di Empangan Beris, Sik dan Sungai Muda.

Ini kerana takungan air di empangan tersebut yang membekalkan air kepada pengguna di Selatan Kedah dan Pulau Pinang berada pada tahap 63.30%.

Jelas Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya Bekalan Air dan Sumber Air dan Tenaga Kedah Datuk Zamri Yusuf, hujan di beberapa kawasan baru-baru ini meningkatkan paras air kepada 5,500 juta liter air sehari.

Beliau mengadakan lawatan kerja ke Pejabat Pengurusan Lembangan Sungai Muda di Kota Kuala Muda, Kedah turut disertai Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Air Darul Aman Sdn. Bhd Mohd Suhaimi Mohd Jusoh.

Mengulas lanjut Datuk Zamri berkata, kerajaan negeri akan memohon peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan untuk projek naik taraf baraj lama Sungai Muda.

Ini kerana kedudukan baraj lama yang terlalu rendah berbanding baraj baharu menyebabkan air dari Sungai Muda melimpah dan tidak dapat dikawal menyebabkan berlakunya pembaziran.