Wednesday, September 18, 2019
updated 1:31 PM UTC, Sep 18, 2019

RM11.45 juta dadah dilupuskan JSJ Narkotik Kuala Lumpur

  • Published in Berita Semasa

NEGERI SEMBILAN - Hampir 400 kilogram dadah pelbagai jenis bernilai RM11.45 juta dilupuskan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kontinjen Kuala Lumpur.

Menurut Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Roslan Bek Ahmad, dadah yang dilupuskan merupakan barang kes bagi tahun 1994 hingga 2018 yang telah selesai perbicaraan.

Kesemua barang kes yang dilupus melibatkan 5,065 kertas siasatan.

Beliau bercakap dalam sidang media sempena majlis Pelupusan Barang Kes Dadah di Pusat Pelupusan Syarikat Kualiti Alam, Ladang Tanah Merah A3 Division, Bukit Pelanduk, Negeri Sembilan.

Pelupusan barang kes dilakukan bagi mengelakkan tempat penyimpanan menjadi padat dan tidak tersusun dan memberi ruang kepada barang kes baharu yang masih di peringkat perbicaraan.

Peraturan tersebut perlu dilaksanakan selaras Prosedur Standard Operasi dalam penyiasatan kes-kes di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952.

Pelupusan dilakukan oleh Syarikat Kualiti Alam melalui proses pembakaran tertutup.